SJPP: RM219 juta pembiayaan diluluskan bantu 300 PMKS depani impak krisis Asia Barat

SEJUMLAH RM219 juta diluluskan melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendepani saat mencabar akibat impak krisis berpanjangan di Asia Barat yang mencetus lonjakan kos logistik dan harga input global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peruntukan diluluskan itu memanfaatkan kira-kira 300 PMKS untuk tempoh 15 Mei hingga 30 Jun lalu, dengan kelulusan di bawah Skim Jaminan Bantuan Kerajaan MADANI bernilai RM5 bilion itu diberikan khusus bagi membantu sektor terkesan termasuk agro, pembinaan, logistik dan pelancongan.

“SJPP turut menjalinkan kerjasama erat dengan pihak bank bagi memudah cara proses penstrukturan, penjadualan semula pembiayaan serta menyediakan bantuan bayaran balik bersasar,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai inisiatif kerajaan bagi memastikan peniaga kecil, penjaja dan PMKS tidak terus terbeban akibat tekanan ekonomi global.

Mengulas pengukuhan akses modal kerja, Amir Hamzah berkata, kerajaan menyediakan dana pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

“Bagi tempoh 15 Mei hingga 26 Jun lalu, lebih RM500 juta pembiayaan mikro sudah diluluskan yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 usahawan kecil-kecilan di seluruh negara.

“Secara keseluruhan, kerajaan sudah memperkukuh akses pembiayaan kepada PMKS melalui kemudahan pinjaman dan jaminan yang berjumlah RM15 bilion menerusi rangkaian bank serta agensi kerajaan,” katanya.

Menurut Amir Hamzah, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyediakan dana pembiayaan RM5 bilion di bawah SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) untuk membantu PMKS yang terjejas.

“Sejak dilancarkan dari pertengahan Mei lalu, hampir RM1 bilion sudah diluluskan kepada lebih 1,500 PMKS membabitkan baki dana sekitar RM4 bilion yang masih tersedia, ruang pembiayaan bagi permohonan seterusnya adalah mencukupi.

“Selain bantuan pembiayaan terus, pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan RM15 bilion turut menjadi pemangkin kepada pendapatan PMKS,” katanya.

Katanya, suntikan tunai kepada hampir sembilan juta penerima STR dan manfaat SARA untuk semua kepada 22 juta rakyat secara tidak langsung memperkukuh permintaan ekonomi domestik.

“Bantuan terus itu dibelanjakan di kedai runcit, pasar, gerai makanan serta premis perniagaan tempatan sekali gua menyokong pendapatan PMKS.

“Setakat Jun lalu, lebih 13,000 rakan niaga SARA termasuk 6,000 kedai runcit kecil terbabit dalam ekosistem berkenaan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img