Kelindan maut lori terjunam 40 meter dalam gaung

SEORANG kelindan lori maut selepas kenderaan 10 tan dinaikinya bersama pemandu terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 40 meter di jambatan besi, Sungai Majau, Mujong Baleh, di pedalaman Kapit hari ini.

Mangsa, Sylvester Doll, 28, ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan sungai di dasar gaung, manakala pemandu lori, Robin Samat, 34, cedera dan dihantar ke Hospital Kapit oleh penduduk rumah panjang berhampiran sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.25 tengah hari memohon bantuan mengangkat mangsa yang terjatuh ke dalam gaung.

Katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke Balai Polis Kapit menggunakan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi bersama polis menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Langkah itu diambil kerana laluan ke lokasi kejadian tidak sesuai dilalui jentera bomba dan pasukan tiba di lokasi pada jam 2.40 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah lori 10 tan membawa muatan alat ganti kenderaan terjunam ke dalam gaung dengan anggaran kedalaman 40 meter serta berkecerunan hampir 90 darjah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota bomba kemudian turun ke dasar gaung dan menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri serta terbaring di kawasan tebing anak sungai.

“Mangsa diangkat menggunakan pengusung sebelum dibawa naik ke jalan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi dikawal pada jam 2.50 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 3.04 petang selepas pasukan memastikan kawasan kejadian selamat dan punca kemalangan masih dalam siasatan polis.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img