KERAJAAN komited memperkukuh pembangunan bakat dan meningkatkan kesiapsiagaan golongan profesional dalam menghadapi era kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan profesional serantau.

Perkara itu dibincangkan Perdana Menteri ketika menerima kunjungan hormat daripada Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) yang diketuai Presidennya, Prof ChM Dr Juan Joon Ching.
Anwar berkata, usaha membangunkan bakat dan meningkatkan kesiapsiagaan golongan profesional dalam era AI penting bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan profesional serantau.
“Kami bertukar pandangan mengenai usaha membangunkan bakat serta meningkatkan kesiapsiagaan golongan profesional dalam era kecerdasan buatan (AI).
“Ikhtiar ini penting untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan profesional serantau,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, kerajaan menyambut baik peranan komuniti profesional sebagai rakan strategik dalam memperkukuh daya saing negara, memacu inovasi serta menjayakan agenda Malaysia MADANI demi kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menerima jemputan menghadiri Hari Ikhtisas Malaysia yang mengiktiraf sumbangan golongan profesional terhadap pembangunan negara.
“Mudah-mudahan kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti profesional akan terus diperkukuh demi melahirkan lebih ramai bakat yang berintegriti, berdaya saing dan memimpin Malaysia ke hadapan,” katanya.






