Kerjasama BN-PN mungkin berterusan – Ahmad Samsuri

PERIKATAN Nasional (PN) mungkin akan meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-16 akan datang sekiranya kerjasama yang dijalin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memberikan keputusan positif.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan menilai kesan daripada kerjasama ini supaya kedua-dua gabungan dapat melakukan penambahbaikan pada pilihan raya lain di masa hadapan.

“Sudah tentu apabila kita berdepan dalam sesuatu pilihan raya, kita perlu sentiasa melakukan penambahbaikan dan jika keputusan yang mampu kita capai dalam PRN Negeri Sembilan ini baik, kita akan tambah baik lagi.

“Ini penting supaya pada pilihan raya yang berikutnya kita memperoleh keputusan yang lebih baik,” katanya kepada media selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Markas Pas Kampung Ismail, Ampangan di Seremban malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.

Seperti diramalkan, PN malam tadi mengisi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi oleh BN pada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini dengan mengumumkan Pas bertanding di lima kerusi, Wawasan (4 kerusi), Gerakan dan MIPP masing-masing 1 kerusi.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, jajaran politik baharu yang diwujudkan ini diyakini berpotensi menampilkan kestabilan politik yang lebih baik serta memberi nafas baharu kepada landskap politik negara.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan manifesto PN bagi PRN berkenaan akan dibuat secara bersama dengan BN.

“Malahan jentera bagi kedua-dua gabungan juga akan saling bekerjasama bagi menyatuni seramai mungkin pengundi. Cara berkempen yang baharu akan dapat dilihat sepanjang tempoh kempen, namun saya tidak boleh sebut lebih awal.

“Tapi ini adalah satu langkah yang amat penting terutama bukan sahaja kepada pengundi Melayu bahkan pengundi pelbagai kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyifatkan calon muka baharu dan lama yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pengalaman dalam pentadbiran diketengahkan itu diyakini mampu memberikan keyakinan kepada rakyat untuk memberikan undi.

“Ini dapat memberikan kepelbagaian apabila kita menjadi kerajaan di Negeri Sembilan nanti,” katanya, yang menegaskan keputusan bertanding dibuat pimpinan parti dalam gabungan itu.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img