POLIS menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol seorang remaja perempuan di pusat bandar Tawau petang semalam.
Suspek warga tempatan diberkas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang berjaya mengesannya di pusat bandar kira-kira jam 2.05 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, remaja lelaki itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat abang mangsa sebelum sepasukan polis menjalankan risikan bagi mengesan keberadaan suspek.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari rumah pada Selasa lalu sebelum ditemui bersama suspek di sebuah tempat penginapan murah di sekitar pusat bandar Tawau.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, suspek dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi ini bagi permohonan reman oleh pegawai penyiasat jenayah IPD Tawau, Inspektor Rabiatul Adawiyah Japri.
Perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek yang tidak lagi bersekolah itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret Tawau sehingga 24 Julai depan.
Berdasarkan keterangan permohonan reman di mahkamah, abang mangsa menyedari adik perempuannya tidak hadir ke sekolah pada 14 Julai lalu kira-kira jam 11.30 pagi, walaupun remaja itu sudah keluar seperti biasa untuk ke sekolah.
Semakan dengan guru kelas mendapati mangsa tidak hadir ke sekolah, manakala pemandu bas memaklumkan mangsa dipercayai turun di kawasan jejantas berhampiran dengan sekolah.
Pada hari sama kira-kira jam 11 malam, abang mangsa dimaklumkan adiknya berada bersama seorang perempuan sebelum mengambil mangsa di rumah individu berkenaan.
Mangsa kemudian dibawa ke balai polis selepas mendakwa bertemu suspek yang juga teman lelakinya sebelum dibawa ke sebuah penginapan murah dan berlaku kejadian berkenaan.






