Jajaran baharu politik BN-PN mampu bawa perubahan untuk negara – Hamzah

JAJARAN baharu politik melibatkan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mampu membawa perubahan dalam pentadbiran negara termasuk di Negeri Sembilan yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada 1 Ogos ini.

Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut menegaskan, kerjasama antara parti dalam PN menunjukkan usaha bersama untuk memperjuangkan masa depan rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa.

“Saya dengar ucapan daripada Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan. Dia kata, ‘Hari ini (kelmarn)  kita umum 25 (kerusi). Esok (malam tadi) kita mahu mendengar ‘rakan baik kita’ untuk mengumumkan yang selebihnya’.

“Kerusi Negeri Sembilan 36, dia umum 25. Kita (PN) akan umum 11 (kerusi). Apa maknanya? Maknanya kita mengambil alih negara kita ini melalui jajaran baharu kita, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis pengisytiharan Calon PN Ampangan, Seremban malam tadi.

Hamzah menegaskan, kepimpinan yang ada dalam PN tidak mempunyai kepentingan peribadi sebaliknya berjuang demi masa depan rakyat negara ini.

“Yakinlah, percayalah bahawa pimpinan yang ada ini tidak ada berkepentingan sekalipun. Yang penting kami berjuang demi untuk masa depan rakyat negara kita yang kita cintai.

“Kami bukan hanya berjuang untuk orang Melayu. Kami bukan hanya berjuang untuk orang Cina. Kami bukan hanya berjuang untuk orang India atau apa bangsa sekalipun,” tegasnya.

Sebaliknya kata beliau yang juga Ahli Parlimen Larut, perjuangan itu adalah untuk membawa wajah Malaysia baharu dengan masa depan yang lebih baik.

“Kami berjanji perjuangan kami adalah untuk masa depan rakyat Malaysia, wajah Malaysia yang baharu akan kita ketengahkan untuk masa depan yang lebih baik, insya-Allah,” katanya.

Hamzah berkata,  landskap politik negara kini berubah dan tidak lagi hanya bergantung kepada satu parti atau satu kelompok tertentu untuk memimpin.

Kata beliau,  perubahan itu berlaku apabila majoriti pengundi mahu melihat aspek lebih luas termasuk kesejahteraan rakyat, kestabilan dan perpaduan.

“Tapi bagi masa depan kita, kita perlukan rakan-rakan. Kita bukan hanya ada di hadapan ini. Cuba kita lihat daripada landskap politik negara kita. Ianya berubah daripada masa ke semasa.

“Satu ketika negara ini dipimpin oleh hanya sebuah parti yang dominan, tetapi akhir-akhir ini ia  berubah. Dia bukan hanya boleh dipimpin oleh satu parti sahaja atau satu golongan kumpulan semata-mata kerana majoriti pengundi-pengundi dalam negara kita sudah berubah,” katanya.

Beliau berkata, PN yakin mampu menerajui negara pada pilihan raya akan datang sekiranya strategi yang dirangka dapat dilaksanakan bersama.

“Sebab itu saya yakin kalau kita boleh bersama, kalau kita kena dengan strategi yang ada, insya-Allah PN akan menerajui negara kita ini dalam pilihan raya yang akan datang, insya-Allah,” katanya.

Mengenai Negeri Sembilan, Hamzah menyatakan, negeri itu menjadi antara tumpuan utama bagi rakyat yang mahukan perubahan.

“Jadi kalau rakyat mahu perubahan, inilah masanya. Inilah masanya kita buktikan. Inilah masanya untuk kita mahu melihat satu negeri yang akan bertambah maju daripada sekarang. Insya-Allah mesti kena dengan strateginya,” kata beliau.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img