DAP perlu terus dalam kedudukan berkuasa dan tidak boleh melangkah jauh sekiranya tidak terlibat dalam politik gabungan.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, parti itu juga perlu terus menyokong politik gabungan dan perlu berada dalam ‘kedudukan berkuasa’ untuk melaksanakan perubahan dalam kerajaan.
“Walaupun mudah untuk bergerak solo, anda hanya boleh memainkan peranan sebagai pembangkang. Anda tidak boleh menjadi sebahagian daripada proses pembinaan negara. Anda tidak boleh berada dalam proses tadbir urus,” katanya dalam wawancara bersama CNA Singapura.
Anthony ditanya mengenai kedudukan DAP sebagai kerajaan di Putrajaya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan menjelang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini serta kongres khas parti itu pada 16 Ogos nanti.
Sewaktu ditanya bagaimana pertembungan DAP dengan Barisan Nasional (BN) boleh menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, `bohong untuk kata tiada impak langsung’.
“Tetapi, kita perlu kekal profesional. Kita masih hadir mesyuarat seperti biasa. Saya baru menyertai mesyuarat di mana saya duduk antara Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.
“Jadi, kita cuba mengekalkan tahap profesionalisme setinggi mungkin untuk memastikan kerajaan kekal utuh,” katanya.
Beliau menegaskan, DAP tidak akan meninggalkan Kerajaan Perpaduan sebelum tamat penggal, malah Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut berikrar akan menyokong kerajaan sehingga tamat penggal, tidak kira apa keputusan PRN.
“Sama ada kita hadapi PRU akan datang sebagai blok perpaduan atau gabungan berasingan adalah sesuatu yang perlu diputuskan gabungan masing-masing apabila Parlimen dibubarkan,” katanya.
Dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming percaya DAP akan berdepan desakan lebih kuat untuk keluar Kerajaan Perpaduan, jika BN membentuk pentadbiran baharu di Negeri Sembilan.
Pemimpin DAP itu berkata, persoalan utama adalah sama ada BN mampu memenangi kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian atau dengan sokongan terhad daripada Perikatan Nasional (PN).
Pada Februari lalu, Loke dilaporkan berkata, seramai 4,000 perwakilan yang menghadiri kongres khas parti itu bulan depan akan mengundi untuk menentukan sama ada pemimpin DAP perlu meletak jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Exco, ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan lantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).






