AKADEMI Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) berperanan penting sebagai peneraju pusat kecemerlangan pencegahan rasuah yang bukan sahaja membangunkan kompetensi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malah menjadi platform latihan, penyelidikan dan pembangunan kapasiti kepada organisasi dalam serta luar negara.
Timbalan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Datuk Dr. Mohd Kassim Noor Mohamed berkata, LPPR menyokong dan amat berminat mengikuti perkembangan serta program-program dilaksanakan oleh MACA dalam memperkukuh keupayaan pegawai SPRM serta memperluaskan jaringan kerjasama di peringkat nasional serta antarabangsa.
Beliau yang mewakili Pengerusi LPPR, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, cabaran rasuah yang semakin kompleks pada masa kini menuntut pegawai SPRM supaya sentiasa memperbaharui ilmu, meningkatkan kompetensi serta menguasai teknologi dan kaedah penyiasatan yang sentiasa berkembang.
“Di sinilah saya melihat peranan MACA sebagai sebuah institusi yang amat strategik. MACA bukan sekadar pusat latihan, tetapi merupakan institusi pembangunan profesional yang bertanggungjawab membentuk pegawai SPRM yang kompeten, berfikiran strategik, beretika tinggi serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus LPPR bersama MACA SPRM di Bilik Mesyuarat, Blok Utama MACA, di Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, Pengarah Kanan MACA SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, MACA komited memperkukuh kedudukannya sebagai institusi latihan antirasuah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik.
Beliau berkata, MACA kini dalam usaha mendapatkan pensijilan antarabangsa bagi Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sebelum diperluaskan kepada peserta dari luar negara sebagai sebahagian daripada usaha mengangkat kepakaran Malaysia dalam bidang integriti dan antirasuah.
Mohamad Zamri berkata, MACA turut menambah baik modul-modul kursus siasatan bagi memastikan kandungannya sentiasa relevan dengan cabaran semasa serta memenuhi keperluan penguatkuasaan yang semakin kompleks.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan MACA telah menerima geran peruntukan daripada Kementerian Luar Negeri untuk menganjurkan Program Executive Leadership Training on Anti-Corruption yang menyasarkan peserta daripada Negara-Negara Membangun yang Berkepentingan Strategik, sekali gus memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam usaha memerangi rasuah.
Pada sesi libat urus itu, ahli-ahli LPPR turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memperluaskan peranan MACA, antaranya menawarkan lebih banyak kursus kepada agensi kerajaan, sektor swasta dan peserta antarabangsa.
Selain itu, LPPR mencadangkan penganjuran persidangan mengenai kesan rasuah sebagai platform perkongsian ilmu dan peningkatan kesedaran awam, di samping mengesyorkan MACA membantu kementerian serta agensi yang berisiko tinggi terdedah kepada rasuah memperkukuh tadbir urus menerusi latihan untuk tujuan pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).






