SEORANG penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal lain, semalam.
Muhammad Ridzuan Armis, 21, didakwa menunggang motosikal Yamaha secara melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Nazri Shahadan, 47, di Jalan Dewan Bahasa dari arah Jalan Hang Tuah menghala ke Jalan Istana, Kuala Lumpur pada jam 2.30 pagi, 16 Julai lalu (semalam).
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Ammanjeet Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya masih muda selain ini adalah kesalahan pertama.
“Tertuduh tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar wang jaminan yang tinggi memandangkan dia bekerja sebagai penghantar makanan dan anak guam saya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan,” kata Ammanjeet.
Majistret Aliaa Anwar yang menetapkan sebutan kes pada 2 Oktober ini membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan lesennya digantung sehingga perbicaraan selesai.
Media semalam melaporkan, seorang penunggang motosikal lelaki maut apabila bertembung dengan seorang penunggang motosikal lain yang melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati seorang lelaki berumur 21 tahun yang menunggang motosikal Yamaha dipercayai telah bertindak berpatah balik dan menunggang secara melawan arus selepas menyedari sekatan jalan raya oleh pihak polis.






