PEMINAT bola sepak tanah air berpeluang menyaksikan detik kemuncak perlawanan akhir Piala Dunia 2026 dalam suasana lebih meriah menerusi program Viewing Party & Semarak Subuh bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bangi Square 2, awal pagi Isnin ini.
Program yang bermula pada jam 12 tengah malam itu dianjurkan bersempena pertemuan akhir antara juara bertahan, Argentina dan Sepanyol yang dijangka mencuri tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia.

Menerusi tayangan skrin besar, pengunjung bakal merasai pengalaman menyaksikan aksi final secara beramai-ramai dengan suasana penuh semangat, sorakan dan kebersamaan bersama keluarga, rakan-rakan serta komuniti setempat.
Penganjur, Bangi Square 2 One Stop Food Station berkata, program berkenaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat, sama ada peminat tegar bola sepak mahupun mereka yang mahu menikmati pengalaman unik menyaksikan perlawanan bersejarah dalam suasana santai.
“Selain tayangan perlawanan, pengunjung turut berpeluang mengikuti segmen Borak Bola bersama barisan legenda bola sepak negara termasuk Datuk Zainal Abidin Hassan, Farizal Marlias dan Zaquan Adha.
“Malam berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan hiburan daripada Babah Naden, Ayam Kahau dan Angah Raja Lawak yang akan menghiburkan pengunjung sepanjang program berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelbagai pengisian menarik turut disediakan termasuk cabutan bertuah, pertandingan kuiz bola sepak serta peluang memenangi hadiah istimewa untuk para pengunjung.
Kata penganjur itu, kemudahan makanan dan minuman ringan turut disediakan bagi memastikan orang ramai dapat menikmati perlawanan akhir itu dalam suasana lebih selesa bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Selesai aksi final, program diteruskan dengan pengisian kerohanian menerusi Semarak Subuh bersama Timbalan Perdana Menteri di Surau Al-Hamidiah, Kajang,” katanya.
Penganjur turut berharap orang ramai dapat hadir memeriahkan program berkenaan selain menjadikan acara itu sebagai medan mengeratkan hubungan masyarakat melalui gabungan elemen sukan, hiburan dan kerohanian.
Orang ramai disaran hadir lebih awal ke Bangi Square 2 bagi mendapatkan lokasi terbaik serta menyertai pelbagai aktiviti yang telah disediakan, katanya.






