Pas tak kisah Bersatu mahu bentuk gabungan baharu luar PN – Tuan Ibrahim

PAS memahami keperluan Bersatu yang ingin membentuk gabungan baharu luar daripada Perikatan Nasional (PN), sambil menyifatkan sifat politik itu sendiri sentiasa berubah.

Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua pihak dinasihatkan ‘tidak terlalu ekstrem’ menetapkan garis hubungan dengan mana-mana rakan sekutu.

“Politik ni sesuatu yang bersifat pragmatik, maka sikap sederhana adalah baik.

“Kalau kita suka sesuatu jangan terlampau kasih, mungkin satu hari menjadi musuh; begitu juga kalau kita benci sesuatu, jangan terlampau benci, mungkin suatu hari menjadi kawan,” katanya, lapor FMT.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu akan membentuk gabungan baharu dengan parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Muhyiddin berkata, antara yang akan menyertai gabungan baharu itu ialah parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pimpinan Datuk Dr Ibrahim Ali dan Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai) diketuai Prof Dr P Ramasamy.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, Bersatu bagaimanapun masih bersama PN meskipun beliau menganggap gabungan itu sudah menjadi toksik dan terpesong daripada perjuangan bawah pimpinan PAS.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, dalam mendepani dinamika politik semasa, sumbangan setiap pihak yang pernah bekerjasama sebelum ini wajar dihargai.

“Setiap pihak ada sumbangan yang perlu dihargai, sebagaimana ada pihak melakukan kesalahan yang perlu dijadikan peringatan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img