DUA beranak maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Temenggung Ahmad, Parit Unas, Muar hari ini.
Kemalangan tersebut berlaku kira-kira jam 10.30 pagi melibatkan Perodua Myvi dipandu seorang wanita tempatan berusia 58 tahun dan ibunya berusia berusia 83 tahun.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Abd Aziz berkata, kenderaan dinaiki dua beranak itu terlibat kemalangan dengan lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun.
“Siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dipandu mangsa dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan kemudian memasuki laluan lori terbabit yang sedang bergerak dari arah bandar Muar menghala ke Parit Jawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, pemandu Perodua Myvi berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala ibunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
“Pemandu lori berkenaan pula mengalami kecederaan pada tangan serta kaki dan kini dirawat di hospital sama. Kes ini disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar atau mana-mana balai polis berhampiran.
Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memandu secara berhemah dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, katanya lagi.






