
PARTI Bersatu tidak mengeluarkan arahan khusus kepada penyokongnya untuk mengundi parti lain di kerusi tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN), berbeza dengan Pas yang mengarahkan ahlinya menyokong calon Barisan Nasional (BN).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya berkata, terserah kepada ahli dan penyokong untuk membuat keputusan sendiri bagi menyokong mana-mana parti sealiran selain yang berada dalam PN jika tiada calon gabungan itu bertanding.
“Kadang-kala ada kes mereka tak mahu mengundi sebab parti (luar PN) yang bertanding mereka tak suka.
“Kalau mereka anggap parti itu UmDAP, takkan saya nak buat arahan sebegitu (supaya sokong) kerana ada asas tertentu, kira tak sama dengan parti lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Sembang Santai di Kampung Jayor, Pagoh bersama calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal, lapor FMT.
Muhyiddin berkata, pendekatan itu dibuat bagi memastikan pengundi dan penyokong PN khususnya Bersatu tidak keliru.
“Strategi PN tak kira parti apa, Bersatu ke atau parti lain, untuk mendapat sokongan seramai mungkin kita jangan celarukan fikiran pengundi. Ini sokong dan ini tak sokong,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta supaya ahli dan penyokong parti itu mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi PN pada PRN Johor 11 Julai depan.
Beliau berkata, arahan itu bertujuan memastikan sokongan diberikan kepada calon BN di kawasan yang tidak mempunyai calon PN, sambil menegaskan ahli Pas tidak mengundi Pakatan Harapan (PH).
Susulan itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap saranan kepimpinan Pas supaya penyokong dan pengundinya mengundi calon gabungan itu dapat diterjemahkan di semua 56 kerusi DUN.






