LEBIH 100 premis kediaman pekerja warga asing yang didapati tidak mencapai standard kondusif diserbu pihak berkuasa menerusi Op Pindah, semalam.
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam kenyataan berkata, operasi bermula jam 8 malam itu diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Betty Hassan dan disertai pelbagai agensi.
Antara agensi terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPS).
Menurutnya, operasi bersepadu berskala mega itu bertujuan membanteras isu penginapan pekerja asing yang tidak menepati standard.
“Pemeriksaan mengejut ke atas lebih 100 unit rumah mendapati terdapat lebih 50 majikan culas dan gagal memohon Perakuan Penginapan daripada JTKSM,” menurut kenyataan itu.
Katanya, hasil tindakan tegas pasukan operasi, kira-kira 25 majikan bersetuju memindahkan 123 pekerja asing terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal, Pakistan, India dan Indonesia ke penginapan berpusat (CLQ) berdaftar atau penginapan yang memiliki perakuan sah serta-merta.
Menurutnya, majikan terbabit turut diberi amaran tegas supaya sentiasa mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Kemudahan dan Penginapan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.






