SEORANG pemandu treler maut selepas kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 51 Jalan Klang-Teluk Intan, berhampiran Kampung Tebuk Marso, di Sungai Besar, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, kemalangan kira-kira jam 3.30 pagi itu mengorbankan pemandu treler berusia 21 tahun.
“Kejadian berlaku apabila treler yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori yang ketika itu sedang bergerak perlahan di lorong kiri.
“Impak kemalangan mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya lapor Buletin TV3.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812.
Terdahulu, media melaporkan nahas itu mengorbankan seorang suami, manakala isterinya yang hamil tujuh bulan cedera.






