BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas 350 kilogram (kg) durian yang dimuatkan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai lebih RM50,000 di pangkalan haram Abe Li Posmen, di Rantau Panjang semalam.
Tangkapan pada jam 9.30 pagi itu dilakukan Batalion 9 menerusi Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika menjalankan rondaan, pihaknya mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 350kg durian dipercayai dari Thailand dan nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM50,000.
“Pemandu kenderaan itu berusia 20 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan buah-buahan yang dibawa sebelum kita menahan dan merampas durian berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Hasil soal siasat yang dilakukan terhadap suspek, buah durian yang dibawanya itu ditempah oleh majikannya melalui aplikasi WhatsApp. Suspek mendakwa hanya ditugaskan untuk mengambil buah berkenaan dan membawanya ke Pasir Puteh untuk dijual,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).






