SEORANG lelaki yang sebelum ini dilaporkan cedera parah selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam tadi disahkan meninggal dunia awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mangsa yang berusia 43 tahun mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tangan dan pendarahan dalaman di bahagian dada.
“Lelaki itu meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 4 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan lelaki terbabit cedera parah selepas kereta dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 10.11 malam sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari BBP Jalan Tun Razak ke lokasi.
Sementara itu, Sazalee berkata, sebuah lagi kenderaan yang dinaiki tujuh individu berusia dua bulan hingga 57 tahun turut dihempap pokok dalam kejadian itu.
Beliau berkata, kesemua mereka sedang menerima rawatan di HKL dan pemeriksaan fizikal mendapati tiada kecederaan luaran.
Menurutnya, kerja pembersihan dan pemotongan pokok oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selesai pada 12 tengah malam tadi, manakala dua kenderaan terlibat telah ditunda keluar dari Jalan Tun Razak bagi melancarkan pergerakan trafik.






