Syed Saddiq tamatkan Larian Kesyukuran 170km, kutipan lebih sasaran RM361,848

SELEPAS empat hari `bermandi peluh’ dengan sokongan pelbagai lapisan masyarakat di sepanjang laluan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman akhirnya berjaya menamatkan Larian Kesyukuran sejauh 170 kilometer (km) dari Putrajaya ke Muar di Laman Maharani di Muar pagi ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu tiba garisan penamat di Bentayan kira-kira jam 9.15 pagi sekali gus menamatkan Larian Kesyukuran beliau yang bermula sejak petang Khamis lalu.

Ketibaan beliau disambut ribuan warga Muar yang setia menanti sejak jam 8 pagi selepas Syed Saddiq memulakan larian dari Simpang Sungai Rambai, sempadan Melaka-Muar pada jam 7 pagi tadi.

Turut kedengaran ‘Hidup Muar, Hidup Muar’ serta ‘Tahniah YB’ daripada penyokong beliau.

Larian sejauh 17 km itu mengambil masa lebih dua jam sebelum tiba di lokasi penamat.

Suasana di Laman Maharani meriah apabila pengunjung bersorak sebaik melihat kelibat Syed Saddiq yang berbaju kelabu dan berseluar trek hitam merentasi Jambatan Sultan Ismail, Muar.

Beliau dilihat meneruskan larian pada hari terakhir bersama beberapa kumpulan pelari, termasuk Muo Runner.

Misi larian itu bermula pada 16 Julai lalu dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya menuju ke Muar, Johor dengan merentasi Negeri Sembilan dan Melaka.

Selain membawa matlamat kebajikan bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar, larian berkenaan turut menjadi simbolik tanda kesyukuran Syed Saddiq selepas melalui perjuangan panjang untuk membersihkan nama dan maruahnya.

Sebelum ini, Syed Saddiq memaklumkan, dana yang dikumpulkan menerusi larian itu akan disalurkan kepada dua inisiatif utama iaitu penyediaan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan serta pembelian iPad bagi membantu pelajar yang memerlukan akses kepada peranti pembelajaran.

Setakat semalam, larian yang dianjurkan beliau itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM361,848 dalam tempoh dua hari, sekali gus melepasi sasaran asal RM200,000 yang ditetapkan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img