TEKUN Nasional (TEKUN) telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM36 juta kepada kira-kira 1,500 usahawan di Negeri Sembilan sehingga Jun tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, di peringkat nasional pula, sebanyak RM540 juta telah disalurkan kepada 25,600 usahawan dalam tempoh yang sama.
Menurut beliau, TEKUN telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan usahawan tempatan sejak ditubuhkan 30 tahun lalu. Bagaimanapun, setiap kelemahan dan jurang dalam proses penyampaian perlu terus diperbaiki berdasarkan pengalaman sebenar usahawan.
“Kerajaan menetapkan sasaran supaya keputusan bagi permohonan pembiayaan TEKUN bernilai RM100,000 dan ke bawah diberikan dalam tempoh tujuh hari, sama ada diluluskan atau tidak diluluskan.
“Bagi pembiayaan mikro bernilai RM20,000 dan ke bawah pula, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sedang mengusahakan sasaran agar keputusan permohonan dapat diberikan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bersama usahawan TEKUN di Seremban baru-baru ini, yang turut menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai pengalaman mereka memohon, menerima dan membayar balik pembiayaan.
Steven menjelaskan bahawa usaha mempercepat proses kelulusan perlu disertai penyaluran dana yang cekap agar usahawan dapat menggunakan pembiayaan berkenaan tanpa perlu menunggu terlalu lama.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa permohonan pembiayaan TEKUN tidak memerlukan sokongan atau pengesahan daripada mana-mana pemimpin politik.
Menurutnya, setiap permohonan mesti dinilai secara profesional dan telus berdasarkan kelayakan pemohon, tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik serta tanpa bergantung pada sebarang surat sokongan.
“Tidak kira usahawan memakai baju biru, hijau atau merah, selagi mereka layak, permohonan mesti diberikan pertimbangan yang adil. Kita mahu menghentikan budaya usahawan terpaksa mencari orang politik atau pihak ketiga untuk mendapatkan surat sokongan,” kata beliau.
Steven memberitahu, kerajaan terus memperluas akses pembiayaan kepada usahawan daripada semua komuniti. Antaranya, peruntukan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN telah ditingkatkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta. Pada masa sama, Pakej Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (MUDRA) menyediakan pembiayaan keseluruhan RM220 juta pada tahun ini.
Beliau berkata, usaha memperkukuh perusahaan tempatan tidak boleh dilihat dari sudut kaum kerana di peringkat antarabangsa, semua perniagaan tempatan bersaing sebagai syarikat Malaysia.
“Jika kita mahu menang di peringkat antarabangsa, kita mesti menang bersama-sama. Jika kita kalah, kita juga akan kalah bersama-sama,” katanya.





