
MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang akan dilancarkan malam ini, adalah kesinambungan pengisian diusahakan kerajaan PH sebelum ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, manifesto itu akan merangkumi semua lapisan rakyat di negeri itu.
“Kita cuba sebaik mungkin, manifesto akan tertumpu satu Negeri Sembilan dan kita harap ia akan memberi manfaat kepada seluruh penduduk Negeri Sembilan.
“Kita nak sampaikan bukan harapan untuk mereka tunggu dan dengar tapi harapan untuk kita laksanakan.
“Banyak yang sudah kita laksanakan dalam manifesto terdahulu yang kita janji,” katanya kepada media selepas berkempen di DUN Linggi, hari ini.
Aminuddin berkata, manifesto PH turut ditambah nilai dengan usaha baharu yang akan memanfaatkan rakyat jika diberi mandat pada 1 Ogos ini.
“Apa kita berikan malam ini untuk melaksanakan baru dan sedia ada untuk tambah baik dan tambah nilai apa kita usahakan selama ini,” katanya lagi.
Manifesto PH dijangka dilancarkan malam ini oleh Ahli Majlis Presiden PH, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Bersama Pilihan Raya PRN Negeri Sembilan.
Semalam, Ketua Sekretariat Pusat Media PRN Negeri Sembilan, Datuk Muhammad Zaki Md Sabri, berkata manifesto PH antara lain akan memperincikan usaha serta rancangan masa depan untuk Negeri Sembilan, sebagai kesinambungan pentadbiran Aminudin sebagai Menteri Besar.






