JABATAN Peguam Negara (AGC) mengarahkan prosiding inkues diadakan bagi menyiasat kematian tiga lelaki dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November tahun lalu.
AGC dalam kenyataan hari ini berkata, inkues itu diadakan mengikut Seksyen 339(1) Kanun Acara Jenayah selepas mengambil kira keseluruhan keterangan dan dapatan siasatan polis.
Menurutnya, prosiding berkenaan bertujuan menentukan punca dan sebab kematian serta meneliti fakta dan keadaan yang membawa kepada kematian tiga individu terbabit.
“Ini termasuk mengenal pasti sama ada wujud atau tidak sebarang unsur jenayah berhubung kematian tiga individu akibat insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November 2025,” katanya dalam kenyataan.
AGC berkata, pihaknya memandang serius setiap insiden membabitkan kehilangan nyawa dan keputusan mengadakan inkues itu mencerminkan komitmen bagi memastikan segala fakta serta keadaan diperiksa secara menyeluruh, telus dan bebas.
“Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap tindakan dan proses perundangan dilaksanakan secara adil, profesional serta berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
Pada 26 Mei lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, polis sudah menyerahkan semula kertas siasatan insiden tembakan maut itu kepada AGC selepas melengkapkan beberapa arahan tambahan.
Media sebelum ini melaporkan, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, seorang anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an parah pada lengan kiri.






