Aminuddin minta semua pihak berkempen secara beradab, matang

PERBUATAN merosakkan poster dan bendera parti sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan cerminan budaya politik matang.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua jentera parti politik sepatutnya mengutamakan integriti dan mematuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya.

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, tindakan membakar atau merosakkan poster kempen tidak mencerminkan budaya politik beradab.

“Kita mahu menunjukkan cara berkempen yang baik kerana kita berada dalam sebuah negeri yang beradab.

“Saya harap semua pihak menghormati peraturan dan masyarakat dapat menilai sendiri tingkah laku ahli politik sepanjang kempen,” katanya kepada pemberita ketika berkempen di sekitar DUN Linggi, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Sekretariat Pusat Media PRN Negeri Sembilan berhubung beberapa laporan dipercayai perbuatan khianat dan kerosakan bahan kempen pada hari kedua kempen.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, pertelingkahan soal calon PH bagi kerusi DUN Chuah sudah diselesaikan sebelum hari penamaan calon dan tidak sepatutnya dijadikan isu.

Beliau berkata, isu antara calon DUN Chuah yang juga penyandang kerusi, Datuk Yew Boon Lye dan Timbalan Ketua Cabang Port Dickson, Datuk Kenny Chew tidak sepatutnya dicanang di media sosial seolah-olah ia mengganggu perjalanan kempen PH.

“Saya tidak mahu tuduh sesiapa atau ini dijadikan mainan pihak lain tetapi ia sudah diselesaikan dengan baik kedua-dua pemimpin,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img