LEGENDA bola sepak England, Kevin Keegan, meninggal dunia pada usia 75 tahun selepas bertarung dengan kanser tahap empat.
Keluarga mendiang dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Keegan menghembuskan nafas terakhir dengan ditemani isteri serta anak-anak perempuannya di sisi.
“Dengan penuh dukacita kami mengumumkan pemergian Kevin Keegan pada usia 75 tahun. Bekas pemain dan pengurus England itu telah bertarung dengan kanser. Isteri dan anak-anak perempuannya berada di sisi beliau pada saat-saat akhir.
“Kevin merupakan pemenang Ballon d’Or sebanyak dua kali, selain seorang suami, bapa dan datuk yang amat disayangi. Keluarga turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang menjaganya sepanjang rawatan. Kami memohon ruang dan privasi pada waktu yang sukar ini,” menurut kenyataan tersebut.
Pada Januari lalu, keluarga Keegan mengesahkan beliau disahkan menghidap kanser tahap empat dan telah memulakan rawatan.
Keegan dianggap antara penyerang terbaik dalam sejarah bola sepak England. Sepanjang karier profesionalnya, beliau membuat hampir 750 penampilan di peringkat kelab.
Bersama Liverpool, beliau membantu kelab itu muncul juara liga divisyen utama England sebanyak empat kali, sebelum menyertai Hamburg di Jerman dan mencipta sejarah apabila memenangi Ballon d’Or secara berturut-turut pada 1978 dan 1979.
Selepas bersara sebagai pemain, Keegan memulakan kerjaya kejurulatihan pada Februari 1992 apabila dilantik sebagai pengurus Newcastle United, ketika kelab itu bergelut untuk mengelak penyingkiran ke divisyen ketiga.
Beliau bukan sahaja berjaya menyelamatkan Newcastle daripada penyingkiran, malah membawa kelab itu kembali ke Liga Perdana Inggeris pada musim penuh pertamanya sebagai pengurus.
Kemuncak pencapaiannya bersama Newcastle hadir pada musim 1995-96, apabila pasukan itu hampir menjulang kejuaraan liga buat kali pertama sejak 1927. Newcastle pernah mendahului Manchester United dengan kelebihan 12 mata, namun kelebihan itu gagal dipertahankan apabila skuad bimbingan Alex Ferguson memenangi 13 daripada 15 perlawanan terakhir mereka.
Akhirnya, Newcastle menamatkan musim di tangga kedua, empat mata di belakang Manchester United.
Keegan turut dikenang menerusi ungkapan ikonik “I would love it if we beat them”, yang diucapkannya dalam temu bual selepas kemenangan ke atas Leeds United ketika tekanan perebutan kejuaraan memuncak. Kenyataan itu kekal menjadi antara detik paling diingati dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.
Di peringkat antarabangsa, Keegan membuat 63 penampilan bersama skuad England dengan jaringan 21 gol.
Beliau kemudian mengendalikan skuad kebangsaan England dari Februari 1999 hingga Oktober 2000. Namun, selepas England tersingkir pada peringkat kumpulan Euro 2000 dan tewas 0-1 kepada Jerman dalam perlawanan terakhir di Stadium Wembley lama, Keegan mengumumkan peletakan jawatan sejurus tamat perlawanan.
Keegan kemudian membimbing Manchester City, membawa kelab itu menjuarai Divisyen Satu England dan kembali ke Liga Perdana Inggeris pada 2002.
Beliau meninggalkan Manchester City pada Mac 2005 sebelum mengumumkan persaraan daripada dunia bola sepak.
Pada 2008, Keegan kembali mengemudi Newcastle United, namun tempoh keduanya bersama kelab itu hanya bertahan lapan bulan sebelum meletakkan jawatan susulan pertelagahan dengan lembaga pengarah dan pemilik kelab ketika itu, Mike Ashley.
Pemergian Keegan menutup tirai perjalanan seorang ikon bola sepak yang bukan sahaja dikenang sebagai pemain bertaraf dunia, malah sebagai pengurus yang meninggalkan legasi besar dalam sejarah bola sepak England.






