Polis Kelantan wajibkan ketua balai tahan seorang penagih setiap hari

POLIS Kelantan memperkenalkan pelan strategi baharu dalam usaha mengekang pengedaran dadah di negeri ini termasuk setiap ketua balai diwajibkan menahan sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari bermula 15 Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pelan strategi itu dilakukan lebih menyeluruh dan berfokus membabitkan semua peringkat.

Katanya, mana-mana pegawai dan anggota yang gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan akan dikenakan tindakan.

“Menerusi pelan strategi ini, di peringkat balai iaitu ketua balai fokus kepada tangkapan penagih, manakala di peringkat ibu pejabat polis daerah (IPD) pula membabitkan tangkapan pengedar serta tokan, manakala di peringkat IPK, membabitkan yang lebih besar seperti pembekal dadah.

“Kita mempunyai 56 balai, takkan ketua balai tidak tahu berapa ramai penagih di kawasan mereka?. Jika dia tidak tahu dia bukan seorang ketua balai dan tidak bekerja. Setiap hari mereka perlu memainkan peranan dan tahan seorang penagih.

“Kita akan melihat keberkesanan pelan strategi ini dalam masa tiga bulan iaitu Oktober nanti. Saya yakin dengan kaedah ini, pengedar dadah akan takut dan lari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Yusoff berkata, jika sebelum ini sasaran tangkapan penagih di Kelantan adalah 85 orang sehari dan pendekatan itu dilihat kurang berkesan.

“Pendekatan sebelum ini menyebabkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di peringkat IPK berdepan kekangan masa untuk menjalankan risikan.

“Jadi menerusi kaedah baharu ini yang lebih fokus dan bersasar bagi setiap peringkat, di peringkat IPK, mereka ada masa untuk menjalankan risikan bagi mengesan pembekal dadah.

“Ini jihad saya dan sekiranya isu dadah ini selesai, maka kes jenayah lain juga akan dapat ditangani,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img