MCMC diarah siasat dakwaan kebocoran data Khairul Aming – Fahmi

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi membabitkan pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming susulan kebimbangan wujud akses tanpa kebenaran terhadap sistem dalaman sebuah syarikat telekomunikasi.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana aduan yang dikongsi Khairul Aming di platform Threads memberi gambaran terdapat individu yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi pelanggan serta inventori atau sistem milik syarikat telekomunikasi terbabit.

DATUK Seri Fahmi Fadzil dan Teo Nie Ching pada majlis perasmian Persidangan Pengawalseliaan Antarabangsa (International Regulatory Conference, IRC) di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

“Saya sudah bertemu wakil syarikat telekomunikasi itu dan mereka memaklumkan sedang menghubungi saudara Khairul Aming.

“Saya juga akan meminta MCMC mendapatkan laporan penuh mengenai perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Terdahulu, Khairul Aming mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain sehingga didedahkan secara terbuka di media sosial.

Menerusi hantaran di platform Threads, beliau meminta penjelasan daripada pihak telco mengenai dakwaan kebocoran maklumat bil telefon peribadinya yang dikaitkan dengan seorang pengguna media sosial.

Persoalan itu dibangkitkan selepas seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon Khairul Aming, termasuk menyatakan terdapat tunggakan sebanyak RM498 selain mengaitkannya dengan beberapa perkhidmatan tambahan (add-on digital purchase).

Dalam pada itu, Fahmi berkata, penyebaran maklumat yang boleh mengenal pasti seseorang (personally identifiable information atau PII) tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi dan tindakan boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang mengalami insiden sama untuk membuat laporan kepada MCMC supaya pihak berkenaan mempunyai rekod, maklumat dan bukti bagi membolehkan tindakan susulan diambil.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img