SETIAP satu proses pematuhan aduan dan penyediaan dokumen bagi membuktikan kandungan di media sosial itu memudaratkan mengambil masa purata 30 hingga 45 minit untuk difailkan kepada pihak penyedia platform.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini bermakna Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah menggunakan sejumlah kira-kira 19.7 tahun waktu bekerja atau ‘man-hours‘ semata-mata untuk memfailkan aduan membabitkan 345,712 kandungan terbabit sejak awal tahun ini.
“Sebanyak 345,712 kandungan memudaratkan dikenal pasti dan dimohon untuk diturunkan oleh MCMC bagi tempoh 1 Januari hingga semalam.
“Daripada jumlah direkodkan itu, 91 peratus dikesan kandungan berulang yang bersifat perjudian serta penipuan (scam),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai keupayaan teknikal MCMC serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Mengulas kapasiti tenaga kerja MCMC, Fahmi berkata, suruhanjaya itu kini sedang merangka aspek penggunaan kecerdasan buatan beragen atau ‘agentic AI‘ bagi mengurangkan pembaziran waktu bekerja kakitangan dalam menguruskan aduan secara manual.
Bagaimanapun beliau berkata, tanggungjawab utama mengekang penularan kandungan memudaratkan itu sepatutnya ditangani sendiri oleh pihak penyedia platform media sosial, memandangkan kebanyakan kandungan jenayah berkenaan diiklankan dan dibayar kepada mereka.
“Meskipun aduan sudah dikemukakan oleh MCMC dan orang ramai, platform-platform ini dilihat masih enggan mengambil tindakan tegas, menyebabkan kesalahan itu terus berulang.
“Oleh itu, pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) bersama peraturan subsidiarinya selepas ini akan memastikan ekosistem digital negara, termasuk platform media sosial, menjadi lebih selamat secara automatik oleh pengurusan platform itu sendiri,” katanya.
Menjawab soalan berhubung ciri-ciri alat berasaskan AI yang belum dibangunkan sepenuhnya oleh pentadbir media sosial, Fahmi mendedahkan syarikat gergasi seperti ByteDance yang mengendalikan TikTok di Malaysia baru-baru ini dilaporkan sudah mengurangkan pekerja, khususnya daripada pasukan keselamatan dan kepercayaan.
Beliau berkata, langkah itu dipercayai kerana syarikat terbabit mula mengguna pakai AI sepenuhnya untuk meneliti isu-isu berkaitan pelanggaran garis panduan komuniti.
“Namun apa yang kita lihat, pihak platform sendiri masih belum mampu menggunakan teknologi AI secara berkesan untuk menurunkan kandungan memudaratkan.
“Justeru, di peringkat platform mereka perlu mengoptimumkan AI, manakala di pihak MCMC juga akan menggunakan teknologi sama bagi menguruskan isu kemudaratan dalam talian dengan lebih cekap,” jelas beliau.






