
FOKUS
MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini boleh dianggap menyeluruh kerana ia memastikan semua golongan dibela termasuk golongan M40.
Mereka akan menikmati pelbagai bantuan dan insentif jika PH terus diberi mandat menerajui negeri tersebut di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ia memandangkan PH mengemukakan cadangan menaikkan had kelayakan pendapatan isi rumah daripada RM4,000 kepada RM8,000 sebulan, sekali gus membolehkan lebih ramai keluarga, termasuk dalam kategori M40, menerima pelbagai bentuk bantuan dan insentif kerajaan negeri.
Turut menarik perhatian ialah pemberian insentif kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT), dengan syarat pendapatan isi rumah ibu bapa tidak melebihi RM8,000 sebulan.
Mengikut cadangan itu, pelajar peringkat sijil akan menerima bantuan RM500, diploma RM750, diploma STEM RM1,000, ijazah sarjana muda RM1,200 dan ijazah sarjana muda STEM sebanyak RM1,500.
Selain bantuan secara ‘one off’ , mahasiswa turut dijanjikan Bantuan Sara Hidup Mahasiswa sebanyak RM2,400 setahun, bersamaan RM200 sebulan, bagi membantu mengurangkan beban kos pengajian.
Turut akan diberikan ialah sumbangan komputer riba mengikut keperluan dan spesifikasi kursus yang diikuti pelajar di IPT.
Beberapa bantuan sedia ada turut dicadangkan untuk dipertingkatkan antara insentif one-off bagi pelajar ijazah sarjana muda, misalnya, akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,200.
Bantuan Warga Emas pula dicadangkan meningkat daripada RM200 kepada RM300 setahun bagi mereka yang berusia 70 tahun ke atas. Pada masa sama, kelayakan bantuan itu turut diperluaskan kepada golongan berusia 65 hingga 69 tahun, yang akan menerima bantuan RM200 setahun.
Apa yang ditawarkan bukanlah omong kosong atau sekadar janji pilihan raya demi meraih undi sebaliknya sudah dibuktikan oleh Amiruddin sepanjang beliau menjadikan Menteri Besar sejak 2018.
Apapun Amiruddin dan PH hanya mampu merancang dan menawarkan tetapi keputusan terletak kepada rakyat, apakah mereka mahu menambah apa yang dikendong atau membiarkan tercicir kerana mengejar sesuatu yang belum pasti. Buatlah pilihan dengan bijak.






