
PENYERTAAN calon Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), P Kumar Paramasivam bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Lobak membuktikan Perikatan Nasional (PN) membawa perjuangan terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Razman Zakaria berkata, kehadiran calon daripada DHPP itu menjadi bukti bahawa agenda PN tidak hanya tertumpu kepada kelompok tertentu, sebaliknya merangkumi kepentingan seluruh masyarakat.
Menurut beliau, perkara itu sekali gus menolak ungkapan PH yang sering memainkan naratif bahawa agenda Penyatuan Ummah kononnya akan mengetepikan masyarakat berbilang kaum.
Katanya, Penyatuan Ummah yang diperjuangkan PN bukan bertujuan meminggirkan mana-mana pihak, sebaliknya usaha memperkukuh perpaduan umat Islam di samping memastikan hak dan kepentingan semua rakyat terus dihormati.
Datuk Idris Ahmad turut hadir memberi sokongan kepada PM Kumar ketika berkempen untuk PRN Negeri Sembilan.
“PH sering memainkan naratif bahawa agenda Penyatuan Ummah kononnya mengenepikan kaum lain. Hakikatnya, Penyatuan Ummah bertujuan memperkukuh perpaduan umat Islam tanpa menafikan hak dan kepentingan masyarakat berbilang kaum.
“Penyatuan Ummah tidak pernah bermaksud menafikan hak masyarakat lain, malah ia bergerak seiring dengan usaha membina hubungan harmoni dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan budaya,” katanya, lapor harakahdaily.
Razman berkata demikian ketika turun padang bersama Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad serta pasukan PN menyantuni masyarakat setempat selain menyampaikan mesej perpaduan dan kebersamaan demi kesejahteraan semua.
Tambah beliau lagi, keterbukaan Perikatan Nasional dapat dilihat menerusi penglibatan semua golongan dalam perjuangan parti itu termasuk penyertaan PM Kumar sebagai DUN 11 Lobak.
“Ini membuktikan perjuangan Perikatan Nasional terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol.
Beliau berkata, pendekatan turun padang menjadi keutamaan bagi memastikan suara rakyat dapat didengar secara langsung, selain membolehkan pemimpin memahami sendiri isu dan cabaran yang dihadapi masyarakat.






