Cadangan debat sepatutnya dibuat lebih awal, bukan sekarang – Aminuddin

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan cadangan untuk mengadakan debat antara gabungan itu dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) sepatutnya dibuat terlebih awal dan bukan sekarang.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan itu, cadangan yang dibangkitkan supaya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias untuk berdebat dengan beliau itu juga tidak sesuai diadakan sekarang.

“Sepatutnya cadangan untuk berdebat ini dibuat lebih awal, sekarang saya juga mempunyai strategi berkempen saya sendiri iaitu bertemu dengan seberapa ramai pengundi di DUN (Dewan Undangan Negeri).

“Ketika ini saya dan jentera parti sibuk untuk berkempen pergi berjumpa rakyat dari rumah ke rumah dan cadangan untuk berdebat itu bagi saya tidak sesuai diadakan sekarang,” katanya yang juga calon PH kerusi DUN Linggi,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di Port Dickson hari ini.

DATUK Seri Aminuddin Harun dalam sidang media ketika berkempen menjelang PRN Negeri Sembilan di sebuah hotel di Port Dickson hari ini

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR ditanya mengenai kenyataan Jalaluddin hari ini yang menegaskan beliau tidak mempunyai hasrat mencabar mana-mana pihak untuk berdebat secara terbuka, namun bersedia menerima pelawaan sekiranya dikemukakan pihak lawan.

Jalaluddin yang juga calon BN bagi DUN Pertang dilaporkan berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang tawaran untuk berdebat.

Menurutnya, BN juga tidak mengambil pendekatan mencabar calon daripada parti lain untuk berdebat secara terbuka.

Pertanyaan mengenai kemungkinan debat itu timbul kerana Jalaluddin merupakan antara tokoh utama BN di negeri berkenaan, selain mengetuai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-BN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin pada 27 April lalu.

Isu perdebatan antara pemimpin utama turut menjadi polemik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini selepas calon PH DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membentangkan visi gabungan itu.

RTM, Astro Awani dan Sinar Harian kemudian menawarkan platform Dialog PRN Johor kepada kedua-dua tokoh, namun Onn Hafiz tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lebih awal dan berpandangan Maszlee sepatutnya berdialog dengan calon yang bertanding di kawasan sama dengannya.

Aminuddin dalam pada itu turut menegaskan bahawa keputusan beliau untuk bertanding di DUN Linggi adalah atas kerelaan beliau sendiri dan bukan dipaksa oleh mana-mana pihak.

“Saya sendiri yang tawar diri kepada pucuk pimpinan parti (PH) untuk bertanding di Linggi dengan tujuan untuk membangunkan kawasan ini yang dilihat agak ketinggalan daripada arus pembangunan.

“Pucuk pimpinan parti juga beberapa kali bertanya adakah saya pasti bertanding di sana (Linggi) dan saya kata ya saya mahu bantu penduduk di Linggi,” jelasnya sambil menafikan dakwaan sebelum ini beliau dihantar ke DUN itu untuk `dibenamkan’.

Menurut Aminuddin lagi, terpulang kepada mana-mana pihak untuk menganggap sedemikian namun beliau hanya bertekad untuk menyelesaikan masalah dihadapi penduduk di DUN Linggi termasuk isu banjir jika diberi peluang memenangi kerusi tersebut.

Sebelum ini, wujud spekulasi bahawa kononnya Aminuddin sengaja dipindahkan untuk bertanding di DUN Linggi yang dianggap kubu kuat BN sebagai usaha untuk `membenam’ karier politik beliau.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img