SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila dua jarinya putus selepas tangan kanannya tersepit pada sebuah mesin membuat kuih ketika sedang bekerja di rumahnya di Taman Nirwana, Batang Tiga, dekat Melaka, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.19 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah apabila jari manis dan jari tengah tangan kanannya terputus akibat tersepit pada mesin berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.19 pagi.
Menurutnya, enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati tangan mangsa masih tersepit pada mesin membuat kuih.
“Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 30 minit kerana anggota bomba terpaksa membuka bahagian mesin terlebih dahulu sebelum berjaya mengeluarkan tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, selepas berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) untuk diberikan rawatan sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 12.02 tengah hari dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.11 tengah hari selepas pihak bomba memastikan keadaan di lokasi selamat serta tiada sebarang risiko lain.






