SEORANG lelaki maut selepas tersepit di tempat duduk pemandu apabila kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Bulatan Pulau Dudong, Sibu, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa yang memandu Honda City disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.32 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba pada jam 8.43 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Honda City.
“Insiden itu membabitkan tiga lelaki dewasa dengan dua mangsa mengalami kecederaan, manakala pemandu Honda City tersepit di dalam kenderaan.
“Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas penyelamatan (rescue tool) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, sejurus berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dua lagi mangsa yang cedera diberikan rawatan awal di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis bagi tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya.






