SEORANG lelaki parah termasuk putus jari telunjuk selepas diserang sekumpulan lelaki di sebuah tokong di Jelutong dekat Georgetown dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung kehilangan sebuah telefon bimbit.
Dalam kejadian itu, seorang penjaga tokong berusia 64 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan turut cedera apabila jari kelingkingnya putus.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula selepas berlaku pertikaian antara mangsa berusia 31 tahun dengan sekumpulan lelaki di sebuah kelab kira-kira jam 4 pagi Ahad lalu.
Menurut beliau, mangsa didakwa mengambil telefon bimbit milik seorang daripada suspek, namun siasatan awal polis mendapati telefon tersebut sebenarnya tidak diambil mangsa.
“Susulan perselisihan itu, mangsa dipercayai diekori ke sebuah tokong di Jelutong sebelum diserang kira-kira tujuh suspek.
“Seorang penjaga tokong yang cuba meleraikan pergaduhan turut diserang dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Dennis berkata, susulan kejadian, polis menahan enam lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 38 tahun pada hari sama bagi membantu siasatan.
Katanya, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian termasuk sebilah parang, pakaian dipercayai dipakai suspek ketika kejadian, enam telefon bimbit, dua motosikal dan sebuah kereta.
“Semua suspek direman tujuh hari sehingga 28 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
“Polis turut mengenal pasti identiti tiga lagi suspek dipercayai terbabit dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan,” katanya.
Menurut beliau, polis juga sedang menyiasat kemungkinan pembabitan suspek dalam kegiatan gengsterisme dan tindakan lanjut akan diambil sekiranya terdapat bukti berkaitan.






