‘Cabar Tok Min berdebat? Umum calon MB BN-PN dahulu’ – Khalid Samad

PAKATAN Harapan (PH) hanya akan mempertimbangkan cadangan debat antara Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dengan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias sekiranya Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) mengumumkan secara rasmi Jalaluddin sebagai calon Menteri Besar gabungan itu.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, sehingga kini Jalaluddin masih belum diumumkan sebagai calon Menteri Besar BN-PN, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kewajaran beliau mencabar Aminuddin berdebat.

“Adakah Datuk Seri Jalaluddin merupakan calon Menteri Besar? Adakah apabila beliau mencabar Tok Min (Aminuddin), ini mengesahkan bahawa beliaulah calon Menteri Besar BN-PN?

“Kalau beliau calon Menteri Besar, biarlah diumumkan dan diisytiharkan secara rasmi. Kalau sekadar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) biasa sahaja, saya rasa tidak sesuailah untuk beliau mencabar Tok Min berdebat,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Klana Resort, Seremban, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penerangan PH yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.

Khalid berkata, sekiranya Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atau Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan Jalaluddin sebagai calon Menteri Besar BN-PN, barulah cadangan debat itu boleh dipertimbangkan.

Sebelum ini, Jalaluddin dilaporkan tidak mempunyai hasrat untuk berdebat dengan mana-mana pihak, namun bersedia menerima pelawaan sekiranya dikemukakan pihak lawan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bersedia berdebat dengan Aminuddin yang telah diumumkan PH sebagai calon Menteri Besar bagi PRN Negeri Sembilan.

Cadangan mengenai debat itu timbul memandangkan Jalaluddin merupakan antara pemimpin utama BN di Negeri Sembilan selain mengetuai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-BN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin pada 27 April lalu.

Sementara itu, Fahmi berkata, beliau masih belum meneliti cadangan supaya Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi platform penganjuran debat berkenaan.

“Saya belum mengikuti isu ini dengan dekat kerana agak sibuk menguruskan beberapa perkara.

“Saya akan lihat dahulu kerana perlu meneliti beberapa perkara sebelum membuat keputusan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img