SEORANG pekerja kontrak warga asing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar sekolah berasrama di daerah Alor Gajah, bulan lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Islam Mohammad Shoriful, 44, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Bangladesh di hadapan Hakim Kamarul Aris Kamalluddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun di kawasan bilik mandi dan tempat membasuh asrama lelaki sebuah sekolah di Alor Gajah, antara jam 6 petang hingga 6.30 petang, 12 Jun lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif memohon agar tertuduh tidak ditawar sebarang jaminan.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.






