LIMA lelaki termasuk dua remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan bergaduh di tempat awam ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia di sebuah restoran di Taman Daya, Isnin lalu.
Tertuduh, Abdullah Tenis Munisamy, 38; R. Keevaan Jay Arkesh, 28; Muhammad Nafiz, 19, serta dua remaja masing-masing berusia 15 dan 17 tahun yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bergaduh di sebuah restoran di Taman Daya kira-kira jam 5.40 pagi sehingga mengganggu ketenteraman awam, lapor Buletin TV3.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM700 terhadap Abdullah, Keevaan dan Muhammad Nafiz, selain memerintahkan mereka dipenjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagi dua remaja terbabit yang merupakan pesalah muda, mahkamah menetapkan 1 September depan untuk serahan laporan akhlak sebelum hukuman diputuskan.
Isnin lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, seramai 12 lelaki berusia antara 15 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia membabitkan Sepanyol dan Argentina di sebuah restoran di Taman Daya.
Sebelum itu, tular rakaman video berdurasi 37 saat di media sosial yang memaparkan beberapa individu bergaduh dan membaling kerusi di restoran berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.






