Anggota polis marin didakwa terima bayaran bulanan

SEORANG anggota polis marin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas enam pertuduhan menerima bayaran bulanan tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Tertuduh, Ramli Osman, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Koperal Polis Marin di Kuala Kedah didakwa menerima wang keseluruhan RM3,000 daripada seorang pengurus syarikat perikanan dan pemborong makanan laut.

Bayaran itu dibuat menerusi enam transaksi pindahan wang daripada akaun bank seorang wanita ke akaun bank tertuduh antara 30 Ogos 2022 hingga 31 Januari 2023 di sebuah cawangan bank di Kuala Klawang, Jelebu.

Tertuduh didakwa mengetahui lelaki berkenaan mempunyai hubungan dengan tugas rasminya, lapor BH.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atikah Ab Rashid menawarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Jonathan Joseph Lim Bing Wee memohon jumlah jaminan RM3,000 dengan alasan tertuduh mempunyai empat anak serta merupakan penanggung utama keluarga selain memberi kerjasama sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan.

Sebutan semula kes akan dilakukan di Mahkamah Sesyen Alor Setar.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img