SEORANG pembantu warung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh kanak-kanak lelaki berusia antara sembilan hingga 13 tahun, sejak Mac lalu hingga bulan ini.
Tertuduh, Mohamad Saiful Nizam Abd Rahman, 36, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua hakim iaitu Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Di hadapan Hakim Raja Noor Adila, tertuduh berdepan lima pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 membabitkan empat mangsa berusia 10, 11 dan 13 tahun di beberapa lokasi termasuk Taman Seri Telok Emas serta Taman Desa Duyong.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan jaminan RM16,000 bagi dua pertuduhan pertama dan RM13,000 bagi setiap tiga pertuduhan lain, selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Peguam tertuduh, Razif Toha memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya hanya membantu ibunya berniaga di warung dengan pendapatan harian sekitar RM30 hingga RM40.
Beliau turut memaklumkan tertuduh mengalami retak tulang rahang dan dijadual menjalani dua pembedahan di Hospital Melaka selain dipercayai mempunyai simptom masalah psikiatri yang memerlukan pemeriksaan lanjut, lapor BH.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM25,000 bagi lima pertuduhan berkenaan dan menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar, Mohamad Saiful Nizam turut berdepan lima lagi pertuduhan mengikut seksyen sama membabitkan tiga lagi mangsa berusia sembilan hingga 11 tahun.
Mahkamah membenarkan jaminan RM18,000 bagi pertuduhan berkenaan dan menetapkan 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula.
Secara keseluruhan, tertuduh dikenakan jaminan RM43,000 bagi semua 10 pertuduhan.






