Empat termasuk tiga warga Myanmar didakwa sorok 4.7 tan minyak masak

EMPAT individu termasuk tiga warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 4.7 tan minyak masak tanpa lesen sah, baru-baru ini.

Bagaimanapun, hanya tertuduh lelaki tempatan iaitu Chong Sze Thong, 52, mengaku tidak bersalah, manakala tiada pengakuan direkodkan daripada Thung Khaw, 27; Moe Myint Weh Yan, 17 dan tertuduh wanita, Nan Thet Khin, 32.

Pengakuan pemandu lori itu dibuat di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama memiliki barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu 4,705 kilogram minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 12.15 tengah hari di premis tanpa nama di Kampung Baru Mantin pada 7 April lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Azmil Aspara mencadangkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh warga tempatan.

Peguam Mohd Amin Arsan yang hanya mewakili Chong memohon wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM3,000 hingga RM3,500 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan syarat menyerahkan pasport, melapor diri di pejabat KPDN terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi sama ada secara sendiri atau pihak ketiga.

Sementara bagi tiga tertuduh warga Myanmar termasuk suami isteri, mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Hakim Mohamad Kamil kemudian menetapkan 27 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img