Jualan Rahmah diperluas ke kem tentera,balai polis, IPT

PROGRAM  Jualan Rahmah MADANI akan diperluaskan ke lokasi strategik termasuk kem tentera, balai polis serta institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh berkata, langkah itu bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan dalam menangani kos sara hidup.

“Usaha ini adalah pendekatan proaktif KPDN untuk membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada rakyat khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta warga kampus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, usaha itu turut meliputi komuniti setempat yang mempunyai kekangan masa untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.

Fuziah berkata, pelaksanaan PJRM di kawasan Pangkalan Udara Subang, Selangor sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan dan memberi manfaat kepada lebih 13,000 orang.

Beliau menjelaskan, pendekatan membawa jualan terus ke lokasi komuniti membuktikan inisiatif berkenaan mampu memberi impak lebih besar kepada rakyat.

 Program Jualan Rahmah turut dilaksanakan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan yang disertai anggota tentera dan keluarga mereka.

Beliau berkata, inisiatif itu memudahkan warga kerja mendapatkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, selain membantu menjimatkan masa, kos perjalanan dan perbelanjaan harian.

“Pelaksanaan program itu di lokasi berkenaan membuka peluang kepada rakan strategik KPDN termasuk pasar raya, pemborong, koperasi serta peruncit tempatan untuk memperluaskan pasaran mereka sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

Fuziah memberitahu,  dari Januari hingga 21 Julai lalu, sebanyak 18,067 Program Jualan Rahmah berjaya dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 63.22 juta transaksi atau penerima manfaat dengan nilai jualan melebihi RM810.47 juta serta nilai subsidi kerajaan mencecah RM251.16 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 11,926 pelaksanaan secara bergerak manakala 5,527 di dalam premis dan 613 di luar premis membabitkan keseluruhan 2,153 rakan strategik,” katanya.

Fuziah berkata, di Negeri Sembilan pula sebanyak 1,196 pelaksanaan program itu bagi tempoh sama direkodkan, melebihi sasaran sebanyak 756 pelaksanaan dengan penganjuran itu mencatatkan 720,844 transaksi atau penerima manfaat bernilai RM40.53 juta.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img