DIANGGARKAN sejumlah 2,000 tin yang mengandungi gas metana di dalam premis terbakar mendatangkan bahaya kepada anggota bomba dan penyelamat untuk memadam kebakaran besar yang berlaku di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan, malam tadi.
Kebakaran dipercayai bermula sekitar jam 10.50 malam tadi dipercayai berpunca dari sebuah kedai barangan logam di kawasan pasar berkenaan.

Kejadian itu memusnahkan premis berkenaan namun pasukan bomba dan penyelamat berjaya mengawal kebakaran sebelum merebak ke bangunan utama pasar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya dimaklumkan ada kira-kira 2,000 tin gas metana di dalam premis berkenaan.
“Pada peringkat awal memang berlaku beberapa siri letupan, namun kita berjaya mengawalnya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian awal pagi ini, lapor FMT.
Menurut beliau, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.04 malam dan api berjaya dikawal pada jam 1.20 pagi dengan tiada mangsa dilaporkan setakat ini.
Operasi itu membabitkan 68 anggota JBPM dari 15 balai bomba dan penyelamat (BBP) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan bantuan 11 pasukan bomba sukarela serta polis.
Ashrul Riezal berkata, operasi turut berdepan kekangan apabila lima pili bomba berhampiran tidak dapat digunakan kerana berada di bawah seliaan pihak swasta sambil memberitahu, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu beliau dalam kenyataan terkini memaklumkan, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi tadi.
Menurut beliau, operasi kini tertumpu kepada kerja pemeriksaan dan memadam sisa kebakaran.
“JBPM Selangor sedang menunggu bantuan jengkaut untuk membongkar sisa runtuhan bagi memastikan tiada mangsa terperangkap.
“Kerja pemeriksaan dan memadam sisa kebakaran sedang giat dijalankan, selain menunggu bantuan jengkaut untuk membongkar runtuhan bagi memastikan benar-benar tiada mangsa,” katanya dalam kenyataan terbaharu hari ini.
Ashrul Riezal berkata, pegawai Unit Forensik JBPM turut tiba di lokasi bagi menjalankan siasatan.
Katanya, kebakaran membabitkan lot kedai menjual perkakas elektrik dan peralatan dapur di Blok B4 pasar borong berkenaan.
Premis berkeluasan kira-kira 400 meter persegi itu musnah 90 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.






