DAP tetap beri sokongan kepada PMX, tidak bercadang keluar kerajaan – Anthony Loke

DAP memberi jaminan akan tetap komited menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun dijangka membuat penilaian sama ada perlu kekal dalam Kerajaan Perpaduan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke berkata, DAP akan mengadakan kongres pada 16 Ogos ini untuk memutuskan sama ada pemimpinnya perlu melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan susulan prestasi buruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November lalu.

Beliau berkata, DAP tidak boleh mengabaikan kekalahannya di Sabah yang tewas di semua lapan kerusi ditandinginya, termasuk enam kepada Parti Warisan (Warisan).

Menurutnya lagi, kelangsungan sesebuah parti politik bergantung kepada sokongan pengundi, jadi DAP perlu menilai semula hala tujunya selepas kalah.

“Sebagai sebuah parti politik, survival kita bergantung kepada pengundi. Kalau pengundi menolak kita, kita tidak ada kuasa, tidak ada keabsahan dan tidak ada nilai dalam politik.

“Jadi, survival kita bergantung kepada pengundi. Jadi apabila berlaku keputusan seperti di Sabah, sudah tentu kita perlu mengambil ikhtibar, perlu ada respons.

“Tetapi, bukan bermaksud kita keluar (daripada kerajaan) atau meninggalkan Perdana Menteri. Tidak,” katanya dalam audio siar Tiger Show oleh Astro Awani malam tadi.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan sebelum ini menekankan Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, tanpa mengira keputusan kongres.

Tegas beliau, DAP tidak akan menarik balik sokongannya terhadap Kerajaan Perpaduan atau mengambil bahagian dalam sebarang percubaan menggulingkan kerajaan.

Mengulas lanjut, Anthony mengakui penyertaan DAP dalam kerajaan melibatkan pertukaran dan menyebabkan parti itu diteliti secara berterusan oleh orang ramai.

Walaupun mengakui DAP dikritik kerana kurang lantang sejak berada dalam kerajaan, parti itu yang mempunyai lima menteri terus membangkitkan isu penting dalam Jemaah Menteri.

“Kita bersuara melalui Kabinet, bukannya bersuara melalui media. Tetapi orang politik kita tahulah, kalau tak bersuara melalui media, orang tidak tahu, orang tak dengar, sebab Kabinet ini mesyuarat tertutup, mesyuarat sulit.

“Kita kalau hendak berada dalam kerajaan, kena pertahankan kerajaan. Kita kena cari pendekatan bagaimana kita dapat membantu mendapatkan sokongan rakyat, melalui pentas atau platform dalam kerajaan.

“Kalau kita hanya nak mengkritik atau bersuara lantang sahaja, jadi barulah kita terpaksa berundur daripada kerajaan,” jelasnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img