PGA rampas 20,000 anak pokok kopi seludup bernilai RM700,000

BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah 20,000 anak pokok kopi bernilai RM700,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini menggunakan sebuah lori di hadapan Masjid Kampung Rahmat, dekat Rantau Panjang semalam.

Dalam operasi jam 6.30 petang itu, Batalion 9 PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan turut menahan pemandu lori berusia 39 tahun serta merampas sebuah lori jenis Hino yang dianggarkan bernilai RM180,000.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, nilai keseluruhan rampasan membabitkan anak pokok kopi dan lori itu adalah RM880,000.

Katanya, ketika pasukan melakukan rondaan, mereka menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan ke atas lori menemukan 20,000 anak pokok kopi di bahagian belakang lori. Pasukan operasi meminta pemandu mengemukakan dokumen berkaitan anak pokok yang dibawa dan lelaki itu menyerahkan satu invois dari sebuah nurseri.

“Lelaki itu ditahan dan lori bersama anak pokok dirampas serta dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) PGA Taman Bakti untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).

Menurutnya, anak pokok berkenaan disyaki diseludup dari Thailand melalui laluan yang tidak diwartakan serta dipercayai membawa serangga perosak dan penyakit.

“Hasil soal siasat, lelaki itu memaklumkan bekerja dengan syarikat keluarganya dengan gaji di antara RM3,000 hingga RM4,000 bergantung kepada trip penghantaran dan anak pokok itu akan dihantar ke Gua Musang.

“Pemeriksaan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti penyeludupan anak pokok dari Thailand yang disyaki mempunyai penyakit dan serangga perosak,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img