BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah 1,990 unit pod rokok elektronik (vape) dengan anggaran nilai RM199,000 menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di Pangkalan Haram Tebu, Lubok Gong dekat Rantau Panjang hari ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi dijalankan oleh Kompeni A Batalion 8 PGA pada jam 2.30 petang.
Katanya, ketika rondaan di lokasi, anggota bertugas ternampak kotak warna coklat berada di tebing sungai pangkalan haram itu dalam keadaan mencurigakan.
“Kesemua 1,990 unit pod vape yang disyaki diseludup dari negara Thailand dirampas dan dibawa ke Komtak (Kompeni Taktikal) Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.
“Kes diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tanah Merah untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, tangkapan dan rampasan dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Rantau Panjang untuk diambil tindakan dan siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.
Katanya, rondaan dan pemantauan berterusan akan dilakukan di sepanjang sempadan Sungai Golok untuk mengekang aktiviti penyeludupan.
“Pemantauan akan terus dipergiatkan bagi memastikan tiada sebarang pembolosan dan penyeludupan berlaku di sepanjang sempadan,” katanya.






