Nicole sasar tarik pengundi muda, kecewa tindakan sabotaj bendera PH

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon akan terus memberi tumpuan kepada pendekatan turun padang bagi mendengar sendiri permasalahan penduduk sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bakal diadakan minggu depan.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata, gerak kerja kempen berjalan lancar selepas proses penamaan calon dengan pemasangan bendera parti serta aktiviti bertemu pengundi dilakukan secara berterusan.

NICOLE Tan Lee Koon

Menurutnya, misi utama jentera DUN Bukit Kepayang adalah mendekati golongan pengundi muda bagi memastikan peratusan keluar mengundi yang tinggi.

“Golongan muda adalah kumpulan terbesar yang dikategorikan sebagai pengundi atas pagar dan sering kali memilih untuk tidak menunaikan tanggungjawab mengundi di kawasan itu.

“Selain merangka program khusus yang mampu menarik perhatian mereka, saya harap ibu bapa yang ada anak-anak generasi muda atau ‘Gen Z’ turut berperanan memberi penjelasan mengenai situasi politik semasa.

“Kita mahu memberi kesedaran mengapa penting untuk keluar mengundi demi memastikan perubahan positif dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di DUN BUkit Kepayang hari ini.

Selain tumpuan kepada golongan muda, Nicole komited untuk meneruskan agenda kebajikan membabitkan golongan rentan dan ibu tunggal, selaras dengan pengalamannya yang pernah memegang portfolio Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan pencalonan semula kali ini sebagai satu amanah besar dan menganggapnya sebagai penggal ‘2.0’.

“Saya rasa ini seperti bukan penggal ketiga tetapi ini seperti penggal kedua. Perasaan saya agak bercampur-baur. Saya ibarat pelari maraton yang sebelum ini ‘terpelanting’ di tengah jalan disebabkan pelbagai cabaran yang dihadapi. Sekarang, saya mahu bangun semula untuk meneruskan larian itu,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran berdepan calon muda daripada pihak lawan, Nicole menegaskan beliau tidak akan memandang rendah keupayaan pesaingnya, namun tetap mempertaruhkan pengalaman dan rekod perkhidmatannya sebagai kelebihan utama.

“Saya akan berkempen secara demokratik dengan menggunakan rekod prestasi (track record) dan pengalaman saya sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

“Saya percaya pengundi muda tidak hanya memilih calon kerana faktor usia semata-mata, sebaliknya mereka lebih tertarik kepada topik atau isu yang relevan dengan kehidupan mereka,” katanya.

Nicole dalam pada itu turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang mencabut batang bendera PH, khususnya di kawasan Taman Mantau Indah.

Menurutnya, sebagai amalan demokrasi ketika menghadapi pilihan raya, tindakan mensabotaj bendera parti lawan amat dikesali dan tidak sepatutnya dilakukan.

“Untuk apa mereka mencabut batang bendera?. Tindakan ini tidak mencerminkan kematangan dan sepatutnya amalan mensabotaj parti tidak lagi berlaku pada zaman ini,” tegasnya.

TINDAKAN segelintir pihak mencabut batang bendera PH dalam kempen PRN Negeri Sembilan di DUN Bukit Kepayang baru-baru ini. GAMBAR: Nicole Tan Lee Koon

Ditanya mengenai keyakinan untuk menang, beliau menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pengundi di Bukit Kepayang.

“Saya tidak mahu masuk bakul angkat sendiri. Saya cuma berharap diberi mandat sekali lagi oleh penduduk di sini untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.

Nicole berdepan pertembungan satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Lee Boon Shian.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img