DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan pengumuman berkaitan penganjuran Formula Satu (F1) akan dibuat esok.
“F1 itu kita akan umumkan hari Ahad,” kata Perdana Menteri ringkas ketika ditanya mengenai kemungkinan perlumbaan F1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan serta menilai kemungkinan berkenaan.
Langkah itu dibuat susulan maklumat awal yang menunjukkan Malaysia berpotensi menjadi tuan rumah perlumbaan gantian, sekiranya Grand Prix Bahrain tidak dapat diteruskan.
Tambah Dr Mohammed Taufiq, Perdana Menteri dan kementeriannya telah menerima maklumat awal mengenai cadangan itu, manakala perkembangan lanjut akan diumumkan sebaik sahaja keputusan dimuktamadkan.
Anwar yang ditemui pemberita selepas majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, Bukit Mertajam hari ini, bagaimanapun tidak memperincikan bentuk pengumuman terbabit.
Sebaliknya, Perdana Menteri yang sebelum ini merasmikan Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2026 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Permatang Pauh berkata, maklumat lanjut akan dikongsikan oleh kerajaan pada Ahad, lapor BH.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Grand Prix F1 adalah pada 2017, namun SIC masih tersenarai sebagai litar memiliki lesen Gred 1 daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), sekali gus memenuhi syarat menganjurkan perlumbaan F1.
Pada 2024, Petronas yang juga rakan kongsi pasukan Mercedes F1 pernah dikaitkan dengan laporan merancang membawa semula perlumbaan F1 ke Malaysia pada 2026, namun dakwaan itu dinafikan. Petronas merupakan penaja utama pasukan Mercedes F1 sejak 2010.






