SEORANG lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memuat naik hantaran di Facebook yang mengandungi unsur hasutan dan penghinaan terhadap Islam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan polis jam 12.38 malam kelmarin daripada seorang lelaki yang melihat hantaran tular dalam laman sosial berkenaan.

“Semakan mendapati pemilik akaun Facebook dengan nama “Fadzil Zahari” berkongsi beberapa gambar tangkap layar dipercayai dimuat naik pemilik akaun “Parthiban Ragu”, mengandungi kenyataan menghina agama Islam serta ungkapan jelik dan lucah terhadap Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun pada jam 1 pagi ini di sekitar Iskandar Puteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ab Rahaman, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis turut merampas dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru sebelum majistret membenarkan permohonan reman selama empat hari sehingga Selasa depan, katanya.
Tambah beliau, kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.






