Tarif tambahan 10% AS tak jejas daya saing negara – Johari Ghani

TARIF tambahan 10 peratus dikenakan Amerika Syarikat (AS) tidak menjejaskan daya saing negara kerana kadar itu turut dikenakan ke atas hampir semua negara yang mengeksport ke pasarannya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kadar tersebut ke atas negara menjadi antara terendah, sekali gus memastikan kedudukan negara kekal kompetitif di pasaran AS.

“Semua negara dikenakan tarif, sama ada kadarnya tinggi atau rendah. Bagi Malaysia, kadar 10 peratus itu adalah antara yang paling rendah.

“Jadi, dari sudut eksport, apabila semua negara yang menghantar barangan ke AS turut dikenakan tarif dan Malaysia hanya dikenakan 10 peratus, kedudukan kita masih lebih kurang sama,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) ke-50 di Hotel St Regis, Kuala Lumpur hari ini.

Johari diminta mengulas sama ada kadar tarif 10 peratus AS terhadap Malaysia akan membebankan negara susulan konflik di Asia Barat.

Media semalam melaporkan, AS akan melaksanakan tarif tambahan 10 peratus terhadap hampir semua eksport Malaysia atas dakwaan gagal melarang dan membendung kemasukan barangan dihasil menggunakan buruh paksa.

Tarif itu akan berkuat kuasa tengah hari semalam susulan siasatan dilancarkan Wakil Perdagangan AS (USTR) mengikut Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 pada Mac lalu ke atas 60 negara berhubung sekatan import berkaitan buruh paksa.

Mengulas lanjut, Johari berkata, kebimbangan sebenar kerajaan adalah sekiranya Malaysia dikenakan kadar jauh lebih tinggi berbanding negara pesaing akibat kegagalan melakukan libat urus dengan AS.

“Yang kita bimbang adalah jika negara lain hanya dikenakan tarif 10 peratus, tetapi Malaysia pula dikenakan 40 peratus kerana kita tidak melakukan libat urus. Itu yang tidak boleh berlaku,” katanya.

Terdahulu, Johari berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksana dan menguatkuasakan undang-undang melarang pengimportan barangan dihasilkan menerusi buruh paksa.

Dalam pada itu, Johari memaklumkan Malaysia hanya tertakluk kepada dua daripada empat kategori siasatan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan AS, iaitu buruh paksa dan lebihan kapasiti.

Katanya, bagi isu buruh paksa, Malaysia dikenakan tarif 10 peratus kerana negara mempunyai undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang melanggar piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), namun belum mempunyai mekanisme bagi menangani bahan mentah yang diimport dari negara ketiga yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Johari berkata, kerajaan telah memberi komitmen kepada AS untuk menggubal undang-undang berkaitan, dengan tempoh dua tahun diberikan selepas perjanjian berkaitan diratifikasi.

“Sebab itu mereka memberi kita tempoh dua tahun untuk menggubal undang-undang tersebut, bukan perlu dilaksanakan serta-merta. Perjanjian itu telah ditandatangani, dan sebaik sahaja kita meratifikasinya, Malaysia diberi tempoh dua tahun untuk meminda undang-undang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img