Aminuddin akan terus berkempen, sifatkan terlalu awal untuk nilai tahap sokongan

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan masih terlalu awal membuat penilaian mengenai tahap sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan diadakan pada Sabtu depan.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut beranggap para pengundi kini masih dalam proses menilai perkembangan semasa dan mahu melihat apa berlaku seterusnya sebelum menetapkan pilihan masing-masing pada 1 Ogos depan.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat penilaian walaupun kempen kini sudah memasuki fasa kedua daripada dua minggu kerana pengundi kini masih dalam proses menilai dan membuat pertimbangan.

“Mungkin ada yang memang dah buat keputusan, ada yang masih di atas pagar. Mana yag atas pagar ini saya nampak mereka akan membuat keputusan menyokong calon pada saat akhir.

“Golongan ini besar jumlahnya dan mereka kelompok besar yang perlu diberi perhatian,” katanya ketika ditemui media selepas sesi ziarah rumah ke rumah di Bandar Baru Sunggala di Port Dickson hari ini.

Aminuddin yang bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, gerak kerja kempen memasuki fasa agresif dari segi mendekati segenap lapisan pengundi di kawasan itu.

Beliau turut memohon maaf kepada penduduk yang belum sempat ditemui secara bersemuka sepanjang siri jelajah kempen itu.

“Insya-Allah kita akan cuba jumpa seramai mungkin. Kepada mereka yang belum sempat saya temui, mohon ampun dan maaf sebab kita pun tahu undi awal bermula Selasa ini.

“Hari ini dah Ahad, kalau tak sempat berjumpa, saya mohon mereka yang mengundi awal untuk memberi sokongan kepada Pakatan Harapan.

“Begitu juga yang mengundi pada 1 Ogos, saya memohon sokongan berterusan supaya agenda pembangunan negeri dapat diteruskan,” katanya.

Aminuddin berkata, gerak kerja di kawasan perkampungan hampir selesai sepenuhnya dan tumpuan kini beralih kepada baki beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang belum dilawati.

Ditanya mengenai agenda perumahan ditawarkan menerusi manifesto PH, beliau berkata, isu berkenaan adalah antara inti pati utama diperjuangkan PH.

Katanya, PH komited meneruskan dasar perumahan mampu milik yang merangkumi kategori harga RM45,000, RM110,000 dan RM250,000 dengan kerjasama pemaju.

“Kepada anak-anak Negeri Sembilan apabila ada tawaran ataup iklan mengenai rumah ‘Type A’ isilah permohonan dan pastikan kelayakan.

“Kita nak rumah Type A ni memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan, khususnya B40 ke bawah,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif Rumah Harapan yang mensasarkan golongan B40 memiliki tanah sendiri atau tanah keluarga di kampung, turut diberi fokus untuk mereka memiliki kediaman selesa.

Menurutnya, PH memperkenalkan Rumah Harapan bagi membantu mereka membina kediaman di atas tanah sendiri dan langkah ini penting bagi mengelak kampung menjadi kosong dan memastikan anak muda tidak perlu berhijrah ke bandar semata-mata kerana masalah kediaman.

“Rumah Harapan adalah untuk mereka yang ingin tinggal di kampung sendiri, di tapak sendiri, di tanah milik keluarga atau milik ibu bapa atau milik sendiri.

“Kita tak nak kampung terus ditinggalkan jadi kampung yang kosong, kampung yang tidak punya penduduk yang mencukupi yang akhirnya ramai berhijrah ke bandar.

“Rumah ini berharga RM85,000 sekarang tapi bergantung kepada kos setiap masa kerana kita tidak mengenakan faedah kepada pembayaran,” jelas beliau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img