DARAH terus membasahi bumi Selatan Thailand pada Rabu (22 Julai) apabila lima anggota renjer yang sedang menjalankan tugas menjaga keselamatan penduduk diserang hendap oleh puak pengganas menyebabkan kesemua mereka terbunuh.
Tindakan kejam dan pengecut itu dilakukan oleh enam lelaki berpakaian hitam yang menaiki sebuah pikap Nissan berwarna hitam. Mereka melancarkan serangan secara terbuka ke atas pos kawalan Bukeh Sami di Mukim (Tambon) Tanying Mat, Narathiwat.
Akibat serangan ganas tersebut enam orang awam termasuk kanak-kanak cedera, sekaligus memberi isyarat betapa jahat puak pemberontak ini. Mereka tidak peduli siapapun dalam usaha mencapai perjuangan sia-sia dan songsang mereka.
Sehari selepas melakukan kekejaman itu, puak pemberontak membunuh seorang lelaki yang sedang menjalankan kerja-kerja menorah bukit.
Ternyata kejadian lima anggota renjer dibunuh, orang awam yang tidak berdosa turut menjadi mangsa menjadi bukti puak pemisah sama sekali tidak akan menghentikan perbuatan ganas mereka.

Penulis membaca berita bagaimana Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC) bersama agensi berkaitan telah menyampaikan sumbangan diraja kepada keluarga dua anggota Renjer (Askar Sukarelawan) beragama Islam yang terkorban dalam serangan itu
Penolong Setiausaha Agung SBPAC, Rusdee Malee, mengetuai rombongan ke Narathiwat bagi menghadiri majlis penyerahan bakul sumbangan dan jambangan bunga kurniaan Raja Thailand kepada keluarga Allahyarham Solahuding Pi di daerah Yi-ngo serta Allahyarham Shakariya Jena di daerah Rangae.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Gabenor Narathiwat, Boonchuay Homyamyen, sebagai tanda penghargaan dan sokongan moral kepada keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang ketika menjalankan tugas demi keselamatan negara.
SBPAC bersama Kerajaan Wilayah Narathiwat turut menyerahkan bantuan pampasan sebanyak 500,000 baht (kira-kira RM64,000) kepada setiap keluarga mangsa bagi kes kematian akibat bertugas. Selain itu, keluarga mangsa juga layak menerima pelbagai faedah serta kebajikan lain mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
Rusdee turut menziarahi keluarga mangsa dan menyampaikan bantuan tambahan berupa beras serta sumbangan kewangan bagi pihak Setiausaha Agung SBPAC untuk meringankan beban keluarga yang terjejas.
Beliau menegaskan SBPAC akan terus menyelaras dan memantau bantuan kepada keluarga mangsa secara berterusan bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Pada masa sama, ketua-ketua jabatan kerajaan dan agensi berkaitan turut membincangkan cadangan supaya waris kedua-dua anggota renjer yang terkorban diberikan peluang berkhidmat sebagai anggota tentera kerajaan, bagi menjamin masa depan dan kestabilan ekonomi keluarga mereka.
Kunjungan dan sumbangan ini serta jaminan yang diberikan membuktikan Pemerintah Thailand sentiasa melayani umat Islam dengan baik, adil dan saksama. Tetapi bagaimana dengan puak pemberontak! Mereka membunuh sesuka hati sehingga ibu kehilangan anak, anak menjadi yatim, isteri menjadi balu dan ada keluarga hilang tempat bergantung.
Layakkah puak pemberontak bercakap soal memperjuangkan nasib orang Islam,kalau mereka sendiri membunuh orang Islam termasuk yang bertugas dalam menjaga keselamatan orang Islam?
Namun persoalannya, siapa yang bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan? Apakah Barisan Revolusi Nasional (BRN) atau ada puak pemberontak lain yang lebih berkuasa daripada BRN?
Tidak kira siapapun yang penting, perbuatan tersebut harus dihentikan serta-merta jika benar BRN mahu menjadikan meja rundingan sebagai jalan penyelesaian. Ia kerana apa yang berlaku di Selatan Thailand khususnya dalam serangan terbaru di Narathiwat itu membuktikan keselamatan di wilayah tersebut terus tergugat!
Kalau begitu keadaannya bagaimana kita boleh mempercayai BRN mempunyai kewibawaan atau kuasa menghentikan serangan seumpama itu. Kalaulah dalam proses rundingan damai ada syarat bahawa tindakan ganas harus dihentikan sepanjang proses itu, apakah BRN boleh memberi jaminan bahawa ia boleh dilaksanakan?
Adalah malang apabila nyawa insan tidak berdosa terus menjadi taruhan dalam satu konflik yang seharusnya boleh diselesaikan dengan mudah. Penulis berkata mudah kerana sejak berbelas-belas tahun lalu, Pemerintah Thailand terus komited untuk menamatkannya di meja rundingan.
Apa sahaja yang boleh ditawarkan atau dilakukan bagi menjayakan proses rundingan damai itu, Pemerintah Thailand sedia melakukannya. Ia termasuklah bersetuju Malaysia menjadi fasilitator. Dan memajukan wilayah selatan tidak pernah dipinggirkan dalam agenda Pemerintah Thailand.
Sepatutnya dengan sikap Pemerintah Thailand itu dan selepas beberapa kali mesyuarat sudah ada jalan penyelesaiannya. Atau sekurang-kurangnya tindakan ganas dihentikan.
Justeru kenapa susah sangat BRN menghentikan keganasan di wilayah itu? Apakah dalam BRN berlaku perpecahan antara cabang politik dan cabang militer? Atau ada kelompok puak pemisah lain yang sengaja tidak mahu rundingan itu berjaya dengan melakukan keganasan?
Apapun situasinya, puak pemberontak tidak boleh terus dibiarkan bermaharajalela kerana angkata perbuatan mereka, ramai yang menjadi korban manakala keamanan terumbang ambing.
Serangan terbaru di Narathiwat yang dilakukan secara terbuka tanpa memperdulikan keselamatan orang awam bukti bahawa seharusnya tidak ada lagi kompromoi dengan puak pemberontak termasuk BRN.
Mereka harus diberi pilihan selesaikan masalah di meja rundingan atau memilih meneruskan perjuangan sia-sia yang pasti akan ditentang habis-habis oleh Pemerintah Thailand demi keselamatan penduduk di selatan.






