
CALON Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim bertekad untuk memberi tumpuan kepada aspek penyelenggaraan dan kemudahan infrastruktur berikutan lokasi kawasan DUN itu yang terletak berdekatan pusat bandar Seremban.
Muhammad Nazri, 56, berkata, kedudukan Ampangan yang bersambung dengan pusat bandar raya Seremban dengan demografi kependudukan matang menjadikan pembangunan baharu di Ampangan amat terhad.
“Saya mahu beri keutamaan kepada kerja-kerja penyelengaraan bagi semua infrastuktur sedia ada. Ini termasuk jalan persekutuan, jalan negeri dan lain-lain jalan dengan kerjasama pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Muhammad Nazri ketika ditemui media pada program tinjauan mesra di Kampung Jiboi Baru di Ampangan berkata, terdapat beberapa kawasan di Ampangan yang merentasi sungai dan memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan parit dan longkang dijalankan dengan baik.
Sekiranya pengundi DUN Ampangan memberi mandat kepadanya pada 1 Ogos ini, Muhammad Nazri turut menyimpan hasrat membangunkan kawasan menarik di Ampangan sebagai tempat rekreasi terutama berhampiran sungai.
“Sungai juga boleh dibersihkan dan disediakan kemudahan untuk orang awam,” katanya menambah aduan masalah pengurusan sampah di sesetengah lokasi dan isu banjir di Kampung Ismail turut dibangkitkan penduduk dalam tinjauan sepanjang berkempen.
Di Kampung Ismail, katanya, longkang sedia ada dan bentuk sungai dikesan mempunyai aras ketinggian tidak sekata, sekali gus menyebabkan banjir kerap melanda.
“Ia menyebabkan air bertakung dan boleh mengundang pembiakan aedes, sekali gus menjejaskan kesihatan penduduk setempat,” katanya.
Mengenai persaingan pada PRN kali ini, Muhammad Nazri yakin dengan amalan pertandingan secara sihat dan menawarkan komitmen tinggi bagi berkhidmat kepada warga Ampangan.
“Saya berdepan persaingan tiga penjuru, termasuk menentang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Exco yang dikenali ramai. Faktor itu harus kita akui dan kita bertanding secara sihat.
“Sebagai calon PH, saya menawarkan kesungguhan dan komitmen tinggi untuk terus memberi khidmat kepada warga Ampangan,” katanya.
Sepanjang hampir seminggu, katanya, kempen pihaknya berjalan baik dengan setiap hari dipenuhi program bagi berjumpa warga Ampangan.
Muhammad Nazri berdepan saingan bekas ADUN Ampangan, Datuk Dr Rafie Abd Malek (Perikatan Nasional) dan Noor’azah Harun (Bersatu).






